KHUTBAH TERAKHIR SEBELUM RASULULLAH S.A.W WAFAT:
Khutbah ini disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijriyyah Di Lembah Uranah, Gunung Arafah
“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku
tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas
tahun ini. Oleh itu,dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan
sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.”
“Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini
sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai
amanah yang suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada
pemiliknya yang berhak, janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang
lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah, sesungguhnya kamu akan menemui
Tuhan kamu, dan Dia pasti akan membuat perhitungan di atas amalan kamu.
Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan
riba dibatalkan mulai sekarang.”
“Berwaspadalah terhadap
syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk
menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar. Maka, berjaga-jagalah
supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.”
“Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri, mereka
juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak
mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan, dan
pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan
baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka
adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka
ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu
sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”
“Wahai
manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah,
dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan,
tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji
sekiranya kamu mampu. Ketahuilah, setiap muslim adalah saudara kepada
Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama. Tidak seorang pun lebih mulia
dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.”
“Ingatlah, bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk
dipertanggungjawabkan di atas apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu,
awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran
selepas ketiadaanku.”
“Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau
Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh
itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang
telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada
kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti
kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah
al-Qur’an dan sunnahku.”
“Hendaklah orang-orang yang mendengar
ucapanku menyampaikannya kepada orang lain dan hendaklah orang lain itu
menyampaikannya pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih
memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku.
Saksikanlah ya Allah, bahwasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu
No comments:
Post a Comment
Berkicaulah dengan sopan